Ibu Mangsa Ragut Rayu Tangguh Bayaran Balik KPTM

Monday 2 April 2012


TANAH MERAH – Ibu kepada mangsa ragut, Akmal Izzatie Che Harun, 23, meminta jasa baik Kementerian Pengajian Tinggi agar menangguhkan tuntutan bayaran balik pinjaman pengajian anaknya itu.

Che Sani Salleh, 58, memberitahu, dia sekeluarga buntu apabila beberapa kali menerima surat daripada kementerian terbabit menuntut tunggakan pinjaman Akmal Izzatie yang berjumlah RM4,250.

Menurutnya, Akmal Izzatie sebelum ini pernah membuat pinjaman sebanyak RM6,000 bagi menampung kos pengajiannya di Politeknik Muadzam Shah, Kuantan pada 2006.

Bagaimanapun katanya, selepas tamat pengajian peringkat sijil, Akmal Izzatie belum mendapat sebarang pekerjaan menyebabkan dia masih tidak membuat pembayaran balik pinjaman tersebut.

“Sehingga kini beberapa pucuk surat daripada kementerian telah diterima oleh makcik meminta menjelaskan hutang pinjaman tersebut. Makcik buntu memikirkan masalah ini,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan nasib Akmal Izzatie dari Kampung Air Tilam Nibong dekat sini yang hanya mampu terlantar di rumah setelah menjadi mangsa ragut setahun lalu.

Gadis itu dikatakan menunggang motosikal secara berseorangan dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Bukit Bunga ketika diragut menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala.

Che Sani berkata, dia telah menyuruh abang Akmal Izzatie, Che Abdul Aziz Che Harun, 31, ke tempat pengajiannya untuk membincangkan masalah ini tetapi masih gagal.

“Oleh kerana keadaan dia yang tidak berdaya itu, makcik mohon dan merayu kepada pihak terbabit supaya dapat menangguhkan pembayaran balik pinjaman sementara menanti dia sembuh,” katanya.

Menurut Che Sani, dia sekeluarga tidak mampu untuk melangsaikan hutang pinjaman pengajian Akmal Izzatie dalam waktu terdekat seperti diminta kerana suaminya, Che Harun Deris, 68, hanya seorang penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu.

Pada masa sama katanya, mereka juga perlu menyediakan wang untuk kos rawatan susulan Akmal Izzatie di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan keperluan harian lain.

“Akmal Izzatie pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang pemprosesan data, tetapi malang menimpa apabila dia menjadi mangsa ragut dan kini hanya mampu terlantar,” katanya.

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...