Rozita Che Wan Pilih Kasih Terhadap Anak, Punca Lari Dari Rumah

Monday 19 March 2012


Pelakon, Rozita Che Wan panik selepas mendapati anak keduanya, Aniq Erza, 14, telah melarikan diri dari rumah pada 17 Mac lalu.

Aniq yang keluar pada jam 5 petang hari tersebut dengan alasan untuk memotong rambut bagaimanapun telah menghilangkan diri dan tidak pulang selepas dua jam meninggalkan rumah.

Rozita Che Wan yang risau saat itu, segera mencari dan membuat laporan polis.

"Tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya selepas anak saya didapati hilang dan tiada di salon yang dimaksudkan.

""Saya terus panik dan risau bila anak saya yang keluar sehelai sepinggang tanpa membawa telefon bimbit. Kemudian saya pun keluar mencari sehingga ke rumah rakan-rakannya", katanya

Aniq bagaimanapun berjaya ditemui dengan bantuan pihak polis serta rakan-rakan anak sulungnya, Ammar Effendy, 18, sekitar jam 1 pagi, 18 Mac (semalam) di rumah salah seorang rakannya.

Tidak pasti punca tindakan anaknya melarikan diri dari rumah, namun Rozita berkata anaknya memberitahu pihak polis dia bertindak sedemikian adalah disebabkan merajuk dengan ibunya.

"Alhamdulilah, anak saya akhirnya dijumpai dan dia selamat berada di rumah rakannya. Saya amat berterima kasih dengan pihak polis yang begitu cekap menjalankan tugas.

"Saya seperti tertanya-tanya juga apa yang saya telah buat sehinggakan anak saya sanggup berbuat demikian.

"Namun selepas dia memberitahu dia merajuk dengan saya kerana selalu melebihkan abang sulungnya, saya kini mengerti," luahnya.

Mengambil pengajaran daripada kejadian ini, Rozita berkata dia kini mahu lebih peka dengan hati dan perasaan anak-anaknya.

"Tiada soal pilih kasih di sini, mungkin sebab saya selalu memenuhi permintaan abangnya sehingga dia terasa hati.

"Tetapi bukan saya tidak mengikut kehendak anak kedua saya ini. Cuma dia selalu bersifat memendam dan tidak akan memberitahu apa yang dia nak tetapi dalam masa yang sama saya terpaksa faham kemahuannya.

"Itu yang jadi kadang-kadang saya tidak faham. Jadi selepas ini mungkin saya perlu lebih peka akan kemahuan kedua anak-anak saya," tambahnya lagi.

Kehilangan anak kedua pelakon tersebut telah dihebahkan di laman sosial Twitter sejak 17 Mac lalu.

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...